Thursday, November 13, 2008

::.. Mengungkap Rasa, Memulakan Bicara ..::

Assalamu'alaikum... =)

Erm, x de apa pun sekadar saje-saje nak bercerita. Tengah-tengah mengelamun sorang-sorang tadi tetibe je teringat tentang beberapa perkara. Sekadar nak timbulkan persoalan, kenapa manusia ni cepat terasa yer? Kenapa manusia ni sesetengahnya sensitif sangat? Sebab selama ni tak de yang menegur ke? Ke sebab manje, dimanjakan di rumah dan orang sekeliling? Ke sebab ego? Atau sebab selama ni apa yg dilakukan, diterima dan disenangi oleh orang lain?

Susah, susah nak mentafsir apa yang tersirat di hati setiap orang.. Ada yang jenis sensitif tk sesetengah perkara (kiranya sensitip bertempat), ada yg sensitip je memanjang, x kira tempat, ada yang x nampak sensitip pn, (pandai kawal emosi kot).. tapi ada ke yang x sensitip langsung?
Mustahil la, sebab semua manusia dikurniakan perasaan.. Kesannya sangat besar. Dek kerana sensitip ni sahabat boleh jadi musuh, persahabatan boleh putus, kalau tak putus pun menjadi renggang, kerja-kerja boleh jadi tergendala...

Cumanya ana bukannya anti dengan golongan sensitip ni atau nak menyalahkan orang yang sensitip, sebab x salah pun jika seseorang ni sensitip, dia punya hak dan perasaan, dan udah fitrah kejadian macam tu, nak buat macam mana.. Sensitip boleh tapi biar kena pada masa dan tempatnya... Cumanya ana anti dengan golongan yang sensitip x bertempat, asal ditegur je nak melenting, nak terasa, diberi teguran tuk kebaikan diri dan kesedaran tapi dituduhnya orang lain tak memahami diri.. dituduhnya orang lain menghemtam diri..

Rasanya kebanyakan pembaca pernah menghadapi situasi begini, sama ada menghadapinya terhadap diri sendiri atau pengalaman rakan sendiri, atau berpengalaman buat ke orang lain macam situasi di atas.. Cumanya nak mengajak pembaca sama-sama berfikir

i. Kalau kita kata orang lain x memahami kita, tanya dulu diri sendiri adakah kita memahami
orang lain?
ii. Kalau kita kata orang lain selalu salah faham dengan kita tanya diri sendiri dulu adakah kita
tak salah faham dengan orang lain?
iii. Kalau kita slalu persoalkan knp orang lain tak faham kita, persoalkan balik apa kesilapan diri
kita sehingga menyebabkn orang lain salah faham terhadap kita?
iv. kalau kita nak orang lain memahami diri kita, kita dulu kena mulakan memahami diri orang
lain

Kesimpulannya kat sini, setiap apa yang berlaku, jangan kita asyik mulakan dengan persoalkan atau persalahkan orang lain tapi persoalkan dulu diri kita, cari kesalahan diri sendiri dulu, kemudian baru boleh nak persoalkan kesilapan orang lain. Bila slalu memulakn tindakan mempertikaikan kesalahan orang lain, tu yang menjadi berat hati nak menerima teguran dan pandangan orang lain. Terasa diri sendiri je bersalah dan slalu dipersalahkan..

Bilamana timbul perasaan sensitip/terasa ke dalam diri setiap individu neh, sape yer yang perlu dipersalahkan? Salahkan diri sendiri atau orang yang menegur? Salah diri sebab cepat terasa atau salah orang yang memberi teguran tak kena cara atau salah diri juga sebab tak cuba memahami niat orang yang memberi teguran tuk kebaikan diri sendiri? Banyak atau la.. fenin2.. kerumitan melanda diri..

Rumit, rumit.. persoalan yang susah hndk dirungkai.. rambut sama hitam tapi hati lain-lain..

::.. Ahlan.. salam Ziarah ..::

Assalamu'alaikum wbt..

Ahlan wasahlahlan wa marhaban bikum diucapkan pada yg melawat blog ni. Erm, blog ni baru je buat jadi tak de apa sangat, pengisian pn tak banyak. Lama dah teringin nak buat blog sendiri tapi tak berkesempatan kerana sibuk..

Hanya sekadar nak menyampaikn luahan hati dan rasa, itu tujuan asal penghasilan blog ni..
Jadi kalau diri ini rasa sedih ke, gembira ke, atau apa saje perasaan yg timbul, cerite je dalam ni..
Senang, selain daripada berkongsi dengan Maha Pencipta yang Maha Mengetahui keadaan diri hambaNya yg da'if ni..

Lg pula, nak meluahkan perasaan melalui penulisan ni lebih mudah, (pandangan peribadi neh), lebih original la katakan.. bagi kebanyakan ramai, nk cite/luahkan masalh pada orang lain payah, erm, jadi luahkanlah melalui penulisan..

Tapi nak menulis ni pun kena berhati-hati juga, sebab minda pembaca ni lain2, kita maksudkn A, tapi dia baca maksud B, erm, kang x pasal2 salah faham.. ada yg merajuk hati, mambawa diri..
Payah betul.. hati manusia ni pelbagai dan rumit, susah nak faham. Jd, x yah pening-peningkan kepala, buat-buat paham aje udah le.. Ada hikmah di sebalik setiap ciptaanNya. Klu sama je sume, x de keunikan, nanti bosanla plak.. tiada kepelbagaian..

Banyak la pula celoteh.. ok la, sampai sini saja, semoga berbahagia melawat blog ni..
Salam perjuangan dan semoga terus istiqamah dalam perjuangan... wassalam

::.. Kerana Ini Jalan Pilihanku ..::

Berapa kali aku kata aku bukan belajar di London ! Aku belajar di Swansea , di salah satu tempat di Wales ! "Aku dah bilang kat hang banyak kali dah! Kalau pergi London tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak ayah! Kau pergi sana untuk belajar. Bukan untuk jadi pendakwah!" Swansea ayah, Swansea ! Bentak hatiku. Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di UK itu maksudnya adalah belajar di London". Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London". Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Ayah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku."Aku dah bilang kat hang, dok London tu belajar. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pergi overseas itu, tahu? Semua orang kampong ni tahu yang anak ayah pergi London . Mana aku nak letak muka jika kau balik tak bawak apa2 selain bini kau tu je?" Dia masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si ayah memuntahkan segala isi hatinya yang terbeku. Padanya ayah tidak mengerti apa-apa yang dialaminya di bumi berhawa dingin itu."Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Aku suka anak aku jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai kau tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrim. Biar Islam kita Islam hadhari" Teringat dulu ayah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

"Ayah memang kecewa dengan kau, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak ayah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu jika kau balik tak bawak apa-apa? Kau nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini kau lagi. Kau nak kasi mereka makan pasir ke?"Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong. Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan ayah di balik telefon.Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku, si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;

"Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah keduanya perkataan yang baik" ( Al-Isra’: 23)

Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawa matang dan ada pancaran-pancaran jerawat di mukanya. Badannya sedikit gebu. Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah; dia seorang akhwat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.‘Ayah…’ ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si ayah.

"Ayah, Hisham sebenarnya bukan fail exam keseluruhan ayah. Hisham cuma fail satu modul sahaja"."Sama jelah . Kalau dah fail tu fail juga…" Ayah memotong."Bukan begitu. Maknanya Hisham boleh ambil balik modul itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun."Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya."Abang ikut tabligh kot, Angah.. Balik rumah asyik pakai baju putih je" begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.Barangkali kerana itu ayah melenting dan terkejut. Tapi Hisham tak ikut tabligh ayah! Hisham ikut tarbiyah! "Modul periksa itu modul terakhir Hisham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Hawa dan Hisham kene demam panas. Hisham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawap soalan periksa betul-betul." Ayah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku. "Apapun, ayah tak nak kamu gagal lagi. Kamu kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah."

Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah. Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku. Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan Hawa. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.

"Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham? Get a life man! Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je?Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah ?Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau. Kau jangan paksa diri Sham" Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku."Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah.Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga"."Kau memang dah berubahlah, Sham." Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara.

Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan terpanggil dengan hiburan sementara di atas dunia ini. Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalan yang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.

"Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi" ( Al-A’raf: 7)

Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi UK ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan khinzir adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu, tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian. Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.

"Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu"(Anfal:24)

Kerana itu Hisham ikut usrah ayah! Kerana Hisham mahu merasai cahaya itu! Dan Hisham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Hisham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Hisham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Hisham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan ayah salahkan usrah hanya kerana Hisham gagal!Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada ayahnya yang separa uzur. Dia mahu ayahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada ayah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya."Abang…" Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon."Result abang dah dapat dah ini". Siti Hawa berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku. Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan.. "Alhamdulillah…." Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna. Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial. "Assalamualaikum ayah, Hisham dapat first class honor.…." Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…

p/s : mari kita sama-sama memantapkan akedemik demi memartabatkn agama Islam

::.. Keliru Antara Cinta Atau Sunnah ..::

Aku tergamam sebentar, mataku kaku melihat buku Kak Siti, roommateku, yang terdapat di atas mejanya,"111 WASIAT RASULULLAH SAW UNTUK WANITA SOLEHAH”. Rasulullah? Nama yang sudah janggal untukku ungkap. Entah sudah berapa kurun bibirku tidak menyebutnya. Aku juga sudah lupa apa maksud ‘SAW’. Tidak semena-mena ungkapan lagu nasyid kumpulan Hijjaz ketika aku menyertai pertandingan lagu nasyid sewaktu di sekolah rendah terngiang-ngiang di telingaku.

“Rasulullah dalam mengenangmu, kami susuri limpahan sirahmu, dan kami sanjung pengorbananmu... Engkau taburkan pengorbananmu Buat ummatmu.......”

Ah, aku sudah lupa apa sambungannya. Lagu itulah yang telah menaikkan nama sekolahku. Dan paling penting ketika itu aku menjadi penyanyi solo. Bagaikan terpukau mataku terus memandang buku itu. Entah sudah berapa hari aku merenung buku itu setiap kali Kak Siti tiada. Entah apa istimewanya hingga menarik tanganku untuk mengambilnya. Kubelek-belek kemudian kubaca satu persatu isi kandungannya, masih tak kutemui bab yang menarik hatiku. Akhirnya mataku terhenti bila terbaca wasiat ke 5: Jangan buat dosa besar, nak baca tapi ada rasa secebis ketakutan. Takut pada balasan yang bakal aku terima. Lebih-lebih lagi bab sebelumnya mengenai ketaatan kepada suami. Apakah pantas aku meletakkan perasaanku pada lelaki yang bukan suamiku? Apakah pantas aku menyerahkan sepenuh jiwaku terhadap insan yang bukan suamiku? Apakah pantas aku memberi ketaatanku pada insan yang bukan selayaknya?

Kepalaku cuba membayangkan semula adegan-adegan romantis antara aku dan Syam. Cinta pertama yang berputik gara-gara tersalah ambil beg ketika minggu suai mesra untuk pelajar tahun satu. Syam, lelaki pertama yang mengisi ruang kekosongan hatiku. Dialah insan yang banyak memberiku semangat. Dialah insan yang mengeluarkan aku dari kongkongan kisah silam yang telah menghancurkan keyakinanku. Dialah insan yang membalut luka-luka dihatiku. Dialah segalanya....... Pertemuan kami dua hari lepas di kafe Sri Samping berulang tayang lagi. Mataku masih ingat senyuman manisnya. Tanganku masih merasai belaian tangannya. Telingaku masih ingat setiap huruf yang dilafazkan. Eh, terlalu bahagia. Terlalu indah hingga aku tidak tahu apa ayat yang harus kuungkap untuk menggambarkannya. Biarlah pertemuan itu milik kami. Aku tak ingin mengiktiraf kewujudan insan lain di kafe itu. Sekalipun aku dapat merasakan semua mata menjeling tajam ke arah kami. Ingin rasanya kuajak Syam ke tempat lain yang lebih sunyi dan jauh dari mata manusia tapi aku tak ingin mencacatkan setiap pertemuan kami. Mujurlah Kak Siti tak pernah melihat kami bercengkerama di kafe. Peribadinya dan caranya bergaul dengan lelaki membuatkan aku malu jika dia tahu. Rasa cemburu kadang-kadang menerpa ruang hatiku. Cemburu bagaimana dia boleh hidup tanpa boyfriend. Kadang-kadang aku ingin menjadi seperti dia tapi....eh, lupakan sahaja soalan ini. Apa yang nak dicemburukan, dia tu yang rugi sebab tak merasa betapa indahnya dunia percintaan. Dan aku selalu saja memberi alasan berjumpa untuk membuat asignment, untuk buat program. Aku tidak tahu sampai bila aku harus menipu Kak Siti. Kak Siti memang tak setuju berjumpa berdua dengan lelaki. Sudah acap kali menasihatiku. Eh, biarlah manusia mengutuk kami sebab mereka tak merasa apa yang kami rasa....! Tapi untuk apa matlamat cintaku pada Syam? Untuk berkahwin? Soalan yang hingga kini masih tiada jawaban. Aku juga seperti wanita lain mengimpikan seseorang yang boleh membimbing aku ke jalan yang benar. Syam memang lelaki yang membahagiakan tapi aku tak pasti adakah dia boleh membimbingku. Habis tu, untuk apa? Sekadar suka-suka? Atau mengisi kekosongan duniaku? Lalu meragut kesucianku? Eh mana mungkin Syam setega itu! Aku percaya....! Tapi bagaimana pula jika nasibku seperti Ina. Kerana cinta pada Danish sanggup berkorban. Dan kerana cinta dan pengorbanan itu jugalah yang akhirnya melahirkan seorang baby sebelum sempat mereka bernikah. Bagai pembalasan, Ina dibuang keluarga. Danish pula hilang entah ke mana. Tak cukup dengan itu, Ina sekarang terpaksa berdepan dengan penyakit tibi yang berjangkit melalui Danish. Tabahkah aku jika nasibku serupa dengannya? Ya Allah, betapa besarnya pembalasan-Mu di dunia, bagaimana pula di akhirat nanti? Aku seperti terdengar suara batinku meraung-raung kesakitan meminta untuk dikeluarkan dari penjara dosa. Dosa yang telah merantai hatiku. Dosa yang gelap dan suram. Masih adakah cahaya untukku? Tapi aku memerlukan dahan untuk berpaut. Aku memerlukan pondok untuk berteduh. Lalu kepada siapakah aku harus mengadu? Hatiku menangis lagi sekalipun zahirnya air mataku tidak jatuh.....
*******************************************************************************
Tut..tut..tut.... Handphone ku berbunyi nyaring di dalam kelas, aku lupa untuk silentkan. Semua mata memandang ke arahku. Lecture Dr. Asyraf juga tergendala seketika. “Minta maaf dokter”. Aku cuba menenangkan keadaan. Cemas. Takut dimarah. Kuambil handphone yang kuletak di dalam poket kecil beg hijau mudaku. Beg pemberian Syam ketika hari jadiku yang lepas. Rupanya mesej dari Syam. Bibirku mengukir senyuman. Senyuman yang tak dapat kupastikan maksud hatiku. “I BALIK KAMPUS ESOK. BEST JUGAKLAH LABUAN NI. I BELIKAN SAYANG COKLAT. I NAK JUMPA SAYANG PETANG ESOK, FREE TAK? RINDULAH... : ) ADA SUPRISE UNTUK SAYANG". Aku terpempan. Senyuman tadi kutarik semula. Tidak tahu apa yang harus kutaip. Memang aku juga bagai nak gila kalau tak berjumpa dengannya walau sehari. Kalau boleh aku ingin berkepit dengannya ke mana sahaja dia pergi. Tapi buku semalam bermain lagi dikotak fikiranku. Entah kenapa, hatiku cukup terkesan dengan wasiat Rasulullah Subhanahu..eh, aku masih tak dapat mengingati apa maksud SAW. Aku buntu dan keliru di antara dua jalan yang harus kupilih. Jumpa atau tidak? Dapat kurasakan iman dan nafsu sedang cuba bertarung merebut hatiku. Dan walaupun akalku bertindak sebagai pengadil, aku keliru untuk menentukan siapa pemenangnya.
******************************************************************************** Seperti biasa, selepas solat subuh bersama kak Siti, kami ke padang untuk berjoging. Satu bilik dengan budak masjid ni, membuatkan tidurku selalu terganggu. Masuk jer waktu solat mesti dikejutkan terutama time subuh dan asar. Jadi terpaksalah aku buat-buat pandai sembahyang. Bukannya susah, ikut saje cara Kak Siti, yang penting tahu setiap solat ada berapa rakaat. Di rumah? Huh…Jangan mimpi aku sembahyang. Apa tidaknya, sejak kecil aku hanya kenal solat adilfitri, adiladha dan solat jumaat untuk orang lelaki. Hipokritkah aku? Atau inikah yang dikatakan dengan riak?

Aku terpandang lagi buku semalam yang masih ada di atas meja kak Siti. Teringin sekali kubaca hingga habis. Tapi rasa malu pada kak Siti mengunci mulutku untuk meminta izinnya. Rasa malu itu jugalah yang selalu menyekat tanganku untuk mengambilnya di depan Kak Siti. Mesej Syam semalam masih belum berbalas. Iman dan nafsu masih bertarung. Tak pasti bila pertarungan ini tamat. Hatiku hanya mampu menjadi penonton sedang akalku menjadi pengadil tapi aku tak pasti apa keputusannya. Setelah memakai kasut dan mengunci pintu bilik, kami berlari-lari kecil menuju stadium. Fikiranku masih melayang memikirkan buku semalam. Perlukah aku meninggalkan Syam? Jika tidak, perlukah aku terus membiarkan kami hanyut?

“Kak, boleh tak saya tanya satu soalan” Dia memandangku. Tersenyum. Kemudian mengangguk kecil. “Kenapa kakak tak nak bercinta?” Dia ketawa kecil. Eh, salahkah soalanku? “Kakak pun ada perasaan. Semua orang pun ada perasaan. Tak salah bercinta. Islam tak suruh kita matikan nafsu. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Silapnya bila kita gunakan pendekatan barat untuk menyalurkannya. “Pendekatan Barat, maksud kakak?” “hm...Bercinta sebelum kahwin. Itu pendekatan barat. Sedangkan Islam memberikan kita jalan yang paling mulia iaitu pernikahan. Hari Valantine tu siapa yang anjur? Islam tak pernah suruh sambut apa-apa hari percintaan. Tapi sebaliknya kita disuruh meraikan pernikahan.” Pernikahan? Jadi salahkah percintaan kami? Telingaku seakan panas. Mulutku tak mampu bersuara. Seakan kerongkongku tersekat. “Maksud kakak, mana ada lelaki normal yang suka pada wanita yang dah dipegang-pegang oleh lelaki lain, yang dah dibawa ke hulu ke hilir. Tapi tengoklah kita sekarang, suami tak rasmi lagi orang lain dah merasa.....” Jantungku berdegup kencang. Sakit. Pedih. Apa yang akan aku persembahkan pada suamiku kelak? Tanganku? Tangan ini entah sudah berapa ramai yang menyentuhnya. Tubuhku? Tubuh ini juga sudah tercemar. Rambutku? Rambut ini juga sudah berapa kali dibelai. Suaraku? Suara ini apatah lagi. Lalu, apa? “Ala...macam kereta. Bayangkan perempuan tu macam kereta yang diletakkan di show room, display only. Tapi ada juga yang boleh ditest drive. Ada pula yang kata, sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung,bawalah ke hulu ke hilir. Lelaki ini memang suka kalau dilayan. Tapi kalau diberi pilihan, mestilah lelaki normal nak rasmi kereta yang belum disentuh, yang belum terusik, yang belum diguna, kan?”

Kali ini dadaku, jantungku, hatiku, benakku semuanya seolah-olah menahan kesakitan yang amat sangat. Amat perit. Aku tertekan. Namunku cuba control. Tak mahu Kak Siti perasan. Ada suara berbisik, aku ini kategori kereta yang mana satu? “Tapi sebagai seorang muslim, kita kena faham matlamat kita hidup. Kakak tak bermaksud niat kita jaga diri ni untuk suami tapi tubuh badan kita ni pinjaman dari Allah SWT. Amanah Allah SWT. Kita kena jaga baik-baik dan salurkan ke tempat yang diredhoi Allah SWT. Ingat tak, bila mana seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang seseorang di antara sahabat tu ada yang menuruti nafsu syahwatnya, apakah dia mendapat pahala? Tahu tak apa Rasulullah SAW jawab?” Aku sedikit gugup untuk menjawab soalan Kak Siti. Mana mungkin aku mengingatinya. Bahkan cerita tentang sahabat tu pun aku tak pernah tahu. Sahabat yang kuingat pun hanya Abu Bakar Al-Khattab, Usman As-Siddiq, Umar bin Affan dan Ali Bin....ah, aku sudah lupa. Nama sahabat-sahabat tu pun aku sudah ingat-ingat lupa. Kepalaku menggeleng perlahan. Kak Siti tersenyum. Kuharap senyuman itu mencerminkan dia faham keadaanku yang kurang pengetahuan. Kemudian dia bersuara semula.
“Rasulullah SAW pun jawab: “Bagaimana pendapat kamu kalau dia meletakkan syahwatnya itu pada sesuatu yang terlarang, berdosakah dia? Begitulah. Tetapi kalau dia meletakkannya pada sesuatu yang halal, pasti dia dapat pahala.” (HR. Muslim)
Sebab tu kakak tak nak bercinta. Sebab tu kakak selalu pesan dengan diri kakak, jangan pandang lelaki lebih dari seorang kawan selagi dia bukan suamimu....! Kakak takut amanah Allah SWT ni kakak salah gunakan. Suami tu dah lah halal, berkat pula. Lebih-lebih lagi mahkota kita ni adalah sedekah buat suami kita.” Amanah?Aku terlopong. Betapa gentarnya aku mendengar perkataan tersebut dari mulutnya. Aku teringat ketika di Matrikulasi dulu, ustaz Redzwan pernah kata amanah tu adalah yang paling berat. Serta merta aku menakup mukaku erat-erat. Air mataku akhirnya tumpah. Tanganku terasa basah. Betapa hinanya diriku. Selama ini aku tidak menjaga amanah Allah SWT. Perlukah aku memutuskan hubunganku dengan Syam? Tapi hanya dia sahaja yang membahagiakanku. Bagaimana aku harus hidup tanpa belaiannya? Apakah aku buta kerana tidak menghargainya kasih sayangnya? Nafsu dan akalku kembali bertarung. Kali ini pertarungan lebih sengit. Masing-masing tak mahu mengalah. Masing-masing mahu menang. Dan aku menjadi mangsa pertarungan ini.... ********************************************************************************
“Sayang, kenapa diam saja..? Syam yang tadinya hanya merenung kebisuanku mula bersuara sambil tangannya cuba merangkul tubuhku. Secara refleks aku mengelak tangannya daripada menyentuh tubuhku walau seinci. Dia agak terkejut dengan tindakanku. Matanya terbeliak besar. Aku kembali kaku. Nafasku keras. Tunduk memandang sky juice yang masih tak kusentuh. Tak ingin rasanya kupandang wajahnya. Wajah yang membuat aku lupa diri. Wajah yang membuat aku lupa agama. Namun wajah ini jugalah yang pernah memberikan aku kebahagiaan. Aku tersepit antara dua cinta yang harus kupilih…! Kalau diikutkan hati, ingin aku lari dari pertemuan ini. Pertemuan yang hanya membawaku ke lembah dosa. Pertemuan yang hanya mengheretku ke neraka. Tapi aku tak dapat menipu diriku. Bahkan kehadiranku di sini kerana aku masih menyayanginya. Kata-kata sayang dan rindu yang sering dilafazkannya membuatkan aku rasa bersalah menolak pelawaannya untuk berjumpa. Siapa lagi yang akan melafazkan kata-kata seindah itu padaku.

Coklat yang dijanjikannya ada di atas meja. Besar. Menyelerakan. Ada sebuah kotak kecil lagi di atas meja. Comel dan berbentuk hati. Dibalut kemas dengan warna pink. Warna kegemaranku. Inikah hadiah suprise yang ingin diberikan kepadaku? Inikah nilai cintaku? Tapi aku masih tak dapat menipu diriku. Aku memerlukannya sebagai tempat mengadu. Aku masih memerlukannya sebagai tempat bermanja. Aku tak punya siapa di dunia ini. Ibu bapaku? Huh….nama mereka pun aku tak tahu dan tak ingin aku tahu. Aku dibuang macam sampah. Mujurlah masih ada dua insan yang mulia memungut aku. Merekalah tempatku bermanja. Namun mereka telah tiada, meninggal dunia di dalam kemalangan semasa hendak mengambil aku di matrikulasi. Pada masa itulah aku mengetahui sejarah hidupku. Aku bingung, hilang keyakinan dan rasa terhina, pada siapa harus mengadu? Keluarga? Mana mungkin aku dipedulikan lagi. Hadirnya Syam memberikan sinar baru dalam hidupku. Hati yang kelam kembali bercahaya. Hati yang sunyi kembali ceria. Hati yang bingung kembali terurus. Lalu tegakah aku meninggalkannya? Tapi Sampai bilakah kami akan terus berdosa? Sampai bilakah aku terus membiarkan tubuhku dijelajahi? Dan sampai bilakah hubungan ini berterusan?Syam masih merenung wajahku. Masih setia menanti jawapanku.

Aku pula masih tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Tanganku bermain-main dengan sky juice yang kupesan tadi. Masih sejuk. Dingin. Sedingin salju di Boston ketika aku melancong bersama keluargaku empat tahun lalu. Sama seperti keadaan kami sekarang. Tiada belaian. Tiada kemesraan. Dengan mengumpul kekuatan yang semakin menipis, perlahan-lahan kutarik nafas dan kuangkat muka. Aku memberanikan diri untuk memandang wajahnya. Anak matanya yang sejak tadi cuba menangkap pandanganku akhirnya kubalas. “Maafkan aku Syam…aku rasa kita patut berhenti di sini…”. Suara wanita siapakah itu? Suara akukah itu? Betulkah apa yang telingaku dengar? Atau lidahku tersasul? Tapi antara kami tiada siapa lagi wanita selain aku. Akukah? Benarkah aku? Dengan ayat yang terakhir itu, aku undur kerusi. Ingin pergi. Dia terpinga-pinga. “Kenapa ni, sayang? Sayang ada masalah ke?” Sayang? Perkataan yang keluar dari lidahnya yang lembut itu tiba-tiba bertukar menjadi sembilu yang menikam-nikam hatiku. Tajam. Sekaligus membangkitkan rasa perit yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Serta merta aku mengatup bibir. Antara geram, marah dan sedih. Pintu hatiku kuhempas kuat. Biar ia tertutup rapat. Tak ingin kubuka lagi. Lalu kucuba memadamkan bait-bait perkataan yang berkumandang di telingaku sebentar tadi. “Syam, aku bukanlah wanita yang layak menerima panggilan itu. Simpanlah buat isterimu, jangan terlalu murah memberikan perkataan itu pada orang yang bukan selayaknya. Aku pergi bukan untuk menafikan naluri ini. Tapi kita ummat Muhammad yang punya cara teragung mengurus fitrah ini. Islam yang dibawa Baginda sudah cukup jelas. Akhlak dan peribadi yang ditunjukkan tiada keraguan. Lalu mengapa kita begitu tega meninggalkan suruhannya? Tentu dia sedih melihat ummat seperti kita. Kembalilah Syam..”

Syam memandangku dengan pandangan tajam. Anak matanya tidak bergerak. Kaku. Macam anak patung kena sawan. Di dalam matanya, dapat kulihat ada warna-warna kecewa. Ada warna-warna duka. Ada warna-warna luka. Nafsuku berbisik, tariklah ayatmu tadi.... Aku menarik nafas dalam-dalam. Tekanan. Ada rasa bersalah. Tak pernah aku menyakiti hatinya. Tak pernah aku mendukakan hatinya. Tak pernah aku melukakan hatinya. Kerana hati itulah yang pernah menghadiahkan aku secebis cinta. Segunung kebahagiaan. Lalu kerana cinta itu, kukorbankan ketaatanku. Kukorbankan diriku. Kukorbankan segalanya. Aku memandang semula wajahnya. Wajah yang mengharap simpati seorang wanita. Namun wajah ini jugalah yang pernah memberikan aku selautan dosa. Lalu dengan nada sayu, kukuatkan hati untuk membuka mulut. “Maafkan aku Syam...” Aku bingkas bangun dan berpaling. Kemudian kakiku bergerak perlahan. Terasa lemah meninggalkannya tapi kali ini aku sudah nekad mencari cinta yang lebih suci dan mulia. Cinta yang tidak berdosa. Cinta yang selamat. Cinta yang mendamaikan. Syam, kenangan bersamamu masih melekap kuat diingatanku. Mana mungkin aku melupakannya. Tapi ini tekadku. Kita perlu berhenti melakukan perkara bodoh ini dan melepaskan segalanya. Tiada guna mengharap sesuatu yang tak pasti. Syam, aku akui sememangnya sukar untukku menghentikan hubungan ini tapi biarlah jiwa ini beku dan kaku tanpa kehangatan kasih sayang itu andai ianya hanya singgah buat sementara. Kasih sayang yang hanya membawaku ke alam khayalan yang terlalu indah namun hakikatnya semua itu hanyalah noda bersulam dosa. Syam, biarlah jodoh menentukan kita. Yakinlah pada takdir, andai ada jodoh maka tak ke mana. Andai tiada jodoh antara kita, itulah yang terbaik untuk kita. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat. Kita harus akur pada ketentuan-Nya. Sama-samalah kita bina diri, perbaiki setiap kelemahan. Kita masih belum terlambat. Jadikan kesilapan semalam pengajaran di hari esok.

Maafkan aku Syam, hubungan ini perlu dihentikan. Suka atau tidak, ia perlu ada penutup sekaligus pembuka tirai episod yang baru pula. Mudah-mudahan di episod baru masih ada ruang untuk kita. Masih ada cahaya untuk kita. Masih ada title ummat Nabi Muhammad SAW untuk kita. Doaku, moga kau menemui kebenaran selepas ini.... Air mata yang sejak tadi kutahan mula bertakung menggaburi pandanganku. Namun mata hatiku dapat melihat ada cahaya di sebalik kesuraman yang selama ini menghuni segenap ruang hatiku lantaran dosa yang kulakukan. Di sudut lain, aku melihat ada benih cinta lain sedang tumbuh di dasar hatiku. Menanti kehadiranku. Cinta yang pasti. Cinta yang tiada penghujungnya. Abadi lagi kekal. Itulah cinta Allah dan Rasul-Nya. Layakkah aku....?********************************************************************************
Salahkah hubungan ini? Keliru bertandang lagi diruang fikiranku. “Cubalah cari sejarah Rasulullah SAW. Ada tak kes Nabi kita Bercinta dengan Khadijah sebelum berkahwin? Ataupun dengan mana-mana isteri Baginda yang lain?.” Aku mengangguk. Berpura-pura faham. Sejarah Rasulullah? Ingatanku cuba mencari semula setiap saat di sekolah. Cuba mengingat wajah ustaz-ustazah yang mengajar ketika itu. Cuba mengingat buku-buku sejarah yang pernah aku baca kot-kot aku boleh ingat semula sejarah Nabi Muhammad Subhanahu..eh aku lupa lagi apa maksud SAW. Akhirnya aku harus akur ingatanku agak limited untuk kembali mengingati sejarahnya. Tarikh lahirnya pun aku lupa-lupa ingat, 20 Rabiulawal, 12 April kot, yang pasti tahun Gajah...!

“Rasulullah SAW tauladan terbaik. Lelaki terbaik. Tak pernah sejarah yang mencatatkan percintaan Baginda sebelum kahwin melainkan yang diceritakan semua percintaan selepas kahwin. Jadi bercinta sebelum kahwin tu datang dari mana? Kalau dilakukan oleh Rasulullah SAW, bermakna kita yang bercinta sebelum kahwin ni pun mesti dapat pahala sebab mengikuti sunnah Baginda SAW. Mesti para sahabat dan ulama-ulama juga berlumba-lumba untuk bercinta sebelum kahwin. Ingat tak hadis Nabi SAW? “Wahai orang muda, sesiapa pun di antaramu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin, kerana inilah satu cara menahan mata daripada melihat kepada keburukan dan memelihara kamu supaya suci dan mulia Dan sesiapa yang tak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa melemahkan nafsu” (Bukhari wa Muslim) Rasulullah SAW tak sebut pun pasal bercinta, tak suruh pun kita bercinta. Tapi pernikahan yang dianjurkan. Kalau tak mampu ada cara lain. Sejajar dengan isi kandungan Al-Quran:

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia ciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.” Surah Ar-Ruum, ayat 21.

Jadi kalau kita buat apa yang Nabi tak suruh, kita ikut sunnah siapa? Sedangkan perkahwinan itu adalah amalan Rasul-Rasul terdahulu.

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan......ilaa akhir
ayat.” Surah Ar-Ra’ad, ayat 38.”

Panjang lebar penjelasannya. Aku seolah-olah disindir secara halus. Pedih untukku rasa. Pahit untukku telan. Tapi itulah kebenaran yang harus kuterima. “Kalau lelaki tu baik, pertama sekali, dia akan selamatkan kita dari maksiat. Selamatkan kita dari dosa. Dia takkan pegang-pegang kita sebab dia tahu tangan kita hanya untuk suami. Dia takkan ajak kita berjumpa berdua sebab dia tahu apa hukumnya. Kalau sebelum kahwin lagi dia tak boleh pimpin kita, bagaimana esok lusa? Boleh percaya ke mereka boleh bimbing kita? Dan kalau wanita itu baik, dia akan pastikan lelaki pertama di Hatinya adalah suaminya. Lelaki pertama selain mahramnya yang menyentuhnya adalah suaminya. Bukan senang-senang je bagi kat lelaki yang entah apa-apa. Dan lelaki ni, walau sejahat mana pun apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia mesti nak juga memilih wanita yang baik.” Aku tunduk. Mukaku merah. Malu. Tapi pada siapa? Pada Kak Siti atau.....? Ada rasa bersalah. Ada rasa berdosa tapi pada siapa...? Air mataku cuba kutahan. Tak ingin kulepaskan di depan Kak Siti. Biar ia bertakung di tasik hatiku yang kering kontang dilanda kemarau lantaran dosa yang kulakukan. Masih adakah setitis embun yang sudi bertakung di dalamnya? Kupandang langit hatiku. Gelap. Suram. Tiada bercahaya. Masih adakah mentari yang sudi menyinari segenap ruang hatiku? “Jadi Kak, perempuan yang bercinta tu jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?” “Tentulah. Mana ada lelaki normal yang suka pada barangan ‘second hand’,sedangkan barang baru masih ada. “ Dadaku bergetar mendengar suaranya. Tegas tapi berhikmah.

::.. Kasih Seorang Ibu ..::

"Boleh saya melihat anak saya ?" pinta seorang ibu yang baru melahirkan seorang anak dengan penuh kebahagiaan. Ketika gendongan itu berpindah ke tangannya dan ia membuka selimut yang menutupi wajah bayi lelaki yang comel itu. Ibu itu menahan nafasnya. Doktor yang menunggunya segera berbalik memandang ke arah luar jendela rumah sakit tidak sampai hati menatapi wajah ibu tersebut. Bayi itu dilahirkan tanpa kedua belah telinga.Waktu berlalu dan kini bayi tersebut telah menjadi seorang anak yang boleh bekerja dengan sempurna, cuma penampilannya saja yang tampak aneh dan buruk. Suatu hari anak tersebut bergegas pulang kerumah terus membenamkan wajahnya di pelukan ibunya yang menangis. Ia tahu hidup anaknya penuh dengan kekecewaan dan tragedi. Sambil teresak-esak anak lelaki itu mengatakan yang ia diejek oleh orang dewasa dan dikatakan anak ini adalah makhluk aneh.

Di sekolah anak tersebut disukai oleh rakan-rakan sekolah. Anak tersebut membesar tampan dengan kecacatannya.Ia berbakat dalam bidang muzik dan penulisan. "Ibu,saya ingin menjadi ketua kelas. Ibu hanya mendiamkan diri, tapi di dalam hati ibu merasa kasihan dengan anaknya.
Suatu hari si Ayah terus berjumpa dengan seorang doktor yang boleh melekatkan telinga untuk anaknya. "Saya percaya saya boleh memindahkan sepasang telinga untuknya, tetapi harus ada orang yang tampil untuk menderma".

Beberapa bulan kemudian si ayah memanggil anaknya sambil berkata. "Nak, seorang yang tak ingin dikenali telah bersedia mendermakan telinganya padamu. Kami harus segera mengirim kamu ke Hospital untuk menjalani pembedahan tetapi jangan ditanya siapa yang menderma. Pembedahan dilakukan dengan berjaya dan kini telah lahir seorang lelaki yang mempunyai cukup sifat. Bakat muziknya yang hebat menjadikan ia terkenal dan menerima banyak penghargaan dari sekolahnya.

Masa berlalu dan ia pun berkahwin dan bekerja sebagai seorang yang berpangkat besar. Terdetik di hatinya tentang masa - masa silam lalu menghampiri ayahnya. "Ayah, saya hendak mengetahui siapa yang telah mengorbankan ini semua pada saya, ayah. Ia telah membuat sesuatu yang amat besar dan ingin sekali saya membalas budinya. "Ayahnya menjawab, "Ayah yakin kau tidak boleh membalas kebaikan hati orang yang telah memberikan telinga itu. Setelah terdiam sesaat ayahnya melanjutkan kata - kata "Ayah tidak dapat membuka rahsia ini sebelum tiba saatnya."

Tahun berganti tahun ayahnya tetap menyimpan rahsia. Hinggalah pada suatu hari tibalah saat yang menyedihkan bagi keluarga itu. Di hari itu ayah dan lelaki itu berdiri ditepi jenazah ibunya yang baru saja meninggal dunia. Dengan perlahan dan penuh syahdu si ayah membelai rambut isterinya yang terbujur kaku sambil menyelak rambut sehinggalah tampak bahawa si ibu tidak mempunyai telinga. Sambil menangis si ayah berkata " Ibumu sangat suka menyimpan rambut yang panjang dan tak seorang menyedari bahawa ia telah hilang sedikit kecantikkannya."


~"Kecantikan yang sejati tidak terletak pada penampilan tubuh tapi di dalam hati. Harta karun yang hakiki tidak terletak pada zahirnya, namun pada apa yang tidak dapat dilihat. Kasih sejati tidak terletak pada apa yang telah dikerjakan dan diketahui, namun pada apa yang dikerjakan dan tidak diketahui."~

p/s : Mari kita sama-sama fikirkan dan muhasabah diri..